Kuala Lumpur, 16 Oktober 2024 - Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah menganjurkan Medical Device Seminar 2024 sempena Selangor Life Sciences Convention (SLC) 2024 dan penyertaan pameran melalui reruai MDA yang turut diadakan dalam acara 4 hari berkenaan bermula pada 16-19 Oktober 2024 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Seminar ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan. Beliau  juga telah meluangkan masa melawat ruang reruai yang mempamerkan pelbagai produk peranti perubatan hasil inovasi tempatan dan juga turut memuatkan pelbagai produk kesihatan yang lain selain peranti perubatan dari dalam dan luar negara

Seminar ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman bagi keperluan perundangan peranti perubatan di Malaysia yang terkini berdasarkan Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) dan telah melibatkan penyertaan pelbagai pihak dari industri peranti perubatan,badan penilaian pematuhan universiti, hospital dan juga institut penyelidikan. Seminar ini menekankan peraturan dan polisi-polisi terbaharu kawalan peranti peranti perubatan seperti Peraturan-Peraturan Peranti Perubatan (Pengkompaunan Kesalahan) 2024, pengawalselian peranti perubatan yang inovatif, peranti perubatan orphaned, obsolete dan discontinued , lesen establismen tunggal serta inisiatif strategik antarabangsa yang telah dijalankan MDA.

 

Acara ini turut berperanan sebagai platform perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam industri perubatan serta dapat mengukuhkan jalinan kerjasama antara establismen peranti perubatan, wakil industri peranti perubatan, badan penilaian pematuhan, dan juga pihak berkepentingan secara lebih strategik.