3 Julai 2024, Cyberjaya - Mesyuarat Dua Hala antara MDA, Malaysia dan ‘Ministry of Food and Drug Safety’ (MFDS), Korea Selatan telah diadakan secara dalam talian bagi membincangkan potensi kerjasama ke arah 'regulatory reliance' antara kedua-dua negara.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Puan Norlela Hatta@Antah, Pengarah, Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Industri (BHAI) dengan kehadiran Puan Aidahwaty M. Olaybal, Pengarah Bahagian Kawalan Pra Pasaran (BKPP) serta pegawai-pegawai BHAI dan BKPP. Manakala delegasi Korea Selatan dari MFDS diketuai oleh Puan Youngjin Oh, 'Director of Office for Global Policy and Strategy’, MFDS, Korea Selatan.

 

Susulan daripada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara MDA, Malaysia dan MFDS, Korea Selatan pada 26 Februari 2024, fokus mesyuarat adalah bagi membincangkan ‘regulatory reliance’ dalam kelulusan pra-pasaran peranti perubatan dan perkara ini adalah selaras dengan konsep ‘Good Reliance Practice’ (GreIP) yang telah diperkenalkan oleh 'World Health Organization' (WHO). Melalui mesyuarat ini pihak MDA dan MFDS turut berkongsi tentang keperluan pendaftaran peranti perubatan yang dilaksanakan di negara masing-masing. Usaha kerjasama kedua-dua negara ke arah ‘regulatory reliance’ ini dapat memberikan manfaat dalam mengoptimumkan sumber kedua-dua negara, mengurangkan pertindihan kerja, mengurangkan beban kawal selia, meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem kawal selia masing-masing.

Penulis: Encik Muhammad Marwan Bin Anoor