29 November 2023 – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA), Malaysia dan 'National Medical Products Administration' (NMPA), Republik Rakyat China telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi kerjasama dalam bidang peranti perubatan di Shanghai, China. Majlis ini telah dihadiri oleh Dr Muralitharan Paramasua (Ketua Eksekutif MDA), Dr Xu Jinghe (‘Deputy Commissioner’) dan beberapa pegawai daripada MDA dan NMPA bagi tujuan menandatangani MOU ini. Perjanjian persefahaman ini merupakan komitmen bersama-sama dalam memupuk kemajuan dalam pengawalseliaan peranti perubatan.

Secara umumnya, MOU antara MDA, Malaysia dan NMPA, China dalam peranti perubatan ini menekankan kepada kerjasama yang komprehensif dalam bidang kawal selia peranti perubatan bagi tujuan ‘harmonisation’, 'convergence' dan ‘reliance’. Dengan pendekatan tersebut, MOU ini berpotensi untuk mempercepatkan akses peranti perubatan yang terkini dan meningkatkan kualiti penjagaan pesakit di Malaysia, mahupun di China. Kedua-dua pihak kawal selia telah menyatakan dedikasi dan memberikan komitmen terhadap kerjasama dalam bidang peranti perubatan antara kedua-dua negara tersebut.

MOU yang telah ditandatangani ini turut menjadi simbol dalam meningkatkan kolaborasi secara terperinci dan mendalam berkaitan bidang kawal selia peranti perubatan secara dua hala. Melalui usaha ini, komitmen yang tinggi dari kedua-dua pihak berkuasa peranti perubatan dalam memupuk penyelarasan kawal selia peranti perubatan yang selamat dan berkesan, dapat memberi impak positif dan menyumbang kepada kemajuan industri peranti perubatan di Malaysia dan China, dan kepada kemajuan kesihatan awam global.

 

0c1f267cf70291532d25c1b8e8ead7f4  1a0092cd0e7e45ffead90a86d5294d49  f35ca39151d6e2de44a407678c1788c4

f8127623b5be383216f4b788c4cadca9  30684fd3de3e77cd9c31b2a0d9ff9325