fas fa-search
PEMERIKSAAN PENJUALAN PERANTI PERUBATAN DI FESTIVAL RAMADAN
17 April 2023 – Unit Pemantauan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah menjalankan pengawasan pasaran di Festival Ramadan Putrajaya pada 17 April 2023 (Isnin). Tujuan pemeriksaan ini diadakan adalah untuk memantau peranti perubatan yang dijual disamping memupuk kesedaran peniaga-peniaga terhadap Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).
Pemeriksaan ini dianggotai oleh empat orang pegawai dan melibatkan sebanyak tiga buah gerai. Peranti perubatan yang dijumpai dijual di festival ini adalah kanta lekap kosmetik. Hasil semakan pegawai mendapati tiga daripada empat jenama kanta lekap yang diperiksa adalah tidak berdaftar. Tindakan yang sewajarnya telah diambil terhadap peniaga yang menjual kanta lekap tersebut dan telah diarahkan untuk menghentikan penjualannya. Senarai peranti perubatan yang tidak berdaftar yang dijumpai semasa pemeriksaan boleh dirujuk di: https://mda.gov.my/announcement/1170-peranti-perubatan-tidak-berdaftar-dalam-pasaran.html
Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihati untuk lebih peka dalam memastikan peranti perubatan yang hendak dibeli adalah berdaftar. Semakan pendaftaran peranti perubatan boleh disemak melalui pautan berikut: https://mdar.mda.gov.my/
Penulis: Kamal Hanafi Bin Mohd Nazir