fas fa-search
MESYUARAT BILATERAL ANTARA MDA (MALAYSIA) DAN DRAP (PAKISTAN)
20 Oktober 2022 – Mesyuarat Bilateral antara MDA (Malaysia) dan DRAP (Pakistan) telah diadakan secara dalam talian dan dihadiri oleh pegawai-pegawai pihak berkuasa peranti perubatan dari negara masing-masing. Delegasi Malaysia dari Medical Device Authority (MDA) diketuai oleh YBrs Encik Ahmad Shariff Bin Hambali, Ketua Eksekutif MDA dan turut hadir adalah pegawai - pegawai dari Bahagian Dasar, Hubungan Antarabangsa & Fasilitasi Industri (DASAR), Bahagian Kawalan Pra Pasaran (BKPP), dan Bahagian Pasca Pasaran (BPP).
Mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk membincangkan berkenaan ‘regulatory reliance’ bagi memastikan pengawalseliaan yang lebih cekap dengan menambahbaik sistem regulatori peranti perubatan seterusnya bagi meningkatkan akses peranti perubatan yang selamat dan terjamin keberkesanannya. Kerjasama ini juga dapat merapatkan hubungan kedua-dua negara dalam mengawalselia peranti perubatan sekaligus untuk memastikan jurang perdagangan dapat dikurangkan dalam membantu pihak pemegang taruh dapat memasarkan peranti perubatan dengan lebih mudah.
Melalui mesyuarat ini, pihak DRAP, Pakistan telah memberikan reaksi yang positif ke arah kerjasama berdasarkan konsep ‘regulatory reliance’ melalui pelaksanaan MOU. Pelan pelaksanaan juga telah dibincangkan melalui mesyuarat ini, seterusnya diharap kerjasama ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua negara.
Penulis: Muhammad Marwan Bin Anoor