LAWATAN KERJA REGULATORI BERSAMA INDUSTRI PERANTI PERUBATAN TAHUN 2025 KE EMIRIAH ARAB BERSATU PADA 14 DAN 15 MEI 2025
DUBAI, 14 - 15 Mei 2025 - Lawatan Kerja Regulatori Bersama Industri Peranti Perubatan bagi tahun 2025 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah berjaya dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dengan penyertaan pelbagai agensi dan pemain industri peranti perubatan dari Malaysia dan UAE. Lawatan ini diadakan bertujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam aspek regulatori, meneroka kerjasama strategik, menggalakkan ativiti perdagangan serta membuka peluang pasaran baharu bagi industri peranti perubatan di kedua-dua buah negara.
Delegasi lawatan kerja ini diketuai oleh Ketua Eksekutif MDA, Dr. Muralitharan Paramasua, dan diiringi oleh dua pegawai MDA dengan kolaborasi bersama agensi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan sokongan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Turut menyertai lawatan kerja ini adalah wakil industri peranti perubatan Malaysia yang terdiri daripada Adventa Berhad, Lucenxia Sdn. Bhd., Advance Pact Sdn. Bhd., FOMEMA IOT Sdn. Bhd., Arah Tenang Sdn. Bhd. dan Ardor Biomed Malaysia Sdn. Bhd.
Medical Device Industry Business Program yang telah dirasmikan oleh tetamu kehormat YBrs. Encik Mohd Fadly Amri Aliaman, Konsul Jeneral Malaysia di Dubai turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara FOMEMA IOT (Malaysia) dan Stella Technology Pvt. Ltd. (UAE). MoU ini menandakan permulaan kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang peranti perubatan, terutamanya dalam teknologi radiologi AI. Program ini turut dihadiri oleh establismen dan wakil daripada institusi penjagaan kesihatan UAE.
Pada hari kedua lawatan kerja ini, delegasi telah mengadakan lawatan ke dua buah fasiliti penjagaan kesihatan iaitu Aster Hospital di Al-Qusais dan Medcare Hospital di Al-Safa. Menerusi lawatan ini, delegasi telah berpeluang meninjau secara langsung operasi dan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan, serta mengenal pasti potensi kerjasama dan perkongsian teknologi yang bersesuaian.
Seterusnya, delegasi telah mengadakan lawatan ke Aster Distribution Hub dan lawatan ini telah memberikan pendedahan menyeluruh mengenai aktiviti hab logistik yang merangkumi traceability system dalam rantaian bekalan peranti perubatan, prosedur import-eksport, serta kecekapan operasi yang dapat dinilai bagi menyokong penambahbaikan sistem logistik di Malaysia.
Semasa lawatan kerja ini juga, MDA telah mengadakan kunjungan hormat ke Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, MATRADE Dubai, MIDA Dubai, dan Dubai Health Authority.
Dimuatnaik pada : 29 Mei 2025
Disediakan oleh: Unit Kerjasama Dua Hala
Dimuatnaik oleh : Unit Komunikasi Korporat