fas fa-search
LAWATAN PIHAK BERKUASA PERANTI PERUBATAN (MDA) KE UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS (UniMAP)
Pada 29 April 2025, satu lawatan rasmi oleh delegasi dari Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah diadakan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), bertempat di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik, UniMAP, Pauh, Perlis. Lawatan ini diketuai oleh Puan Idamazura binti Idris @ Harun, dan turut disertai oleh Puan Nashirah binti Naiimi serta Puan Wan Husniati binti Wan Abdullah. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk membincangkan skop kerjasama strategik antara MDA dan UniMAP dengan lebih terperinci, meneroka peluang kerjasama, serta merangka pelan tindakan ke arah memuktamadkan jalinan kerjasama yang dicadangkan.
Sesi perbincangan telah dipengerusikan oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Razaidi bin Hussin, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN), UniMAP. Dalam sesi tersebut, beliau turut memberikan pengenalan kepada UniMAP secara umum, dengan fokus kepada FKTEN yang menawarkan program Kejuruteraan Bioperubatan — program yang berkait rapat dengan pembangunan dan inovasi peranti perubatan.
Pihak MDA juga telah berkongsi pengenalan ringkas mengenai latar belakang penubuhan MDA serta fungsi dan peranan utamanya dalam mengawalselia peranti perubatan di Malaysia di bawah peruntukan Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).
Selain sesi perbincangan, delegasi MDA turut dibawa melawat ke makmal-makmal berkaitan biomedikal di fakulti berkenaan. Lawatan ini memberi gambaran menyeluruh terhadap kemudahan, infrastruktur, serta kepakaran teknikal yang dimiliki UniMAP dalam bidang kejuruteraan perubatan, dan berpotensi menyokong usaha ke arah kolaborasi yang lebih berimpak tinggi pada masa akan datang.
Lawatan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam membina jaringan kerjasama yang mampan antara kerajaan dan institusi akademik, demi memperkukuh ekosistem peranti perubatan negara.
Dimuatnaiknaik pada : 2 Mei 2025