CYBERJAYA, 5 MAC 2025 – Satu sesi Taklimat Kerjasama Penguatkuasaan Pemantauan Penjualan dan Iklan Peranti Perubatan dalam laman sesawang bersama-sama MYNIC Berhad (agensi di bawah Kementerian Digital) telah diadakan di pejabat Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Sesi taklimat tersebut telah dihadiri oleh empat orang Pegawai Operasi dan Undang-Undang MYNIC yang diketuai oleh Puan Naurah Muhammad bersama-sama pegawainya Puan Norlin Husain, Puan Yeo Yee Ling dan Encik Muhammad Nur Farhan Amdan. Tujuan taklimat ini adalah untuk memahami peranan kedua-dua agensi berkenaan dan membincangkan peluang kerjasama antara dua pihak dalam memastikan aktiviti penjualan dan iklan peranti perubatan dalam laman sesawang mematuhi keperluan Akta 737 dan Peraturan Peranti Perubatan (Pengiklanan) 2019.

 PIC_IK4

 
MDA yang diketuai oleh Puan Zahroh Hasanah Darwis Harahap, wakil bagi Pengarah Bahagian Pascapasaran dan Penguatkuasaan telah mempengerusikan sesi taklimat ini dan 17 orang pegawai MDA juga turut hadir agar dapat memahami fungsi serta bidang kuasa MYNIC Berhad.

Sesi taklimat ini telah dimulakan dengan penerangan berkenaan pemantauan iklan dan penjualan peranti perubatan secara dalam talian oleh Encik Nik Muhammad Zuhair bin Shamsudin, Pegawai dari Unit Pemantauan, manakala wakil Undang-Undang MYNIC iaitu Encik Muhammad Nur Farhan Amdan juga memberikan pembentangan yang bertajuk Safeguarding .MY Domain Space: Engagement with Law Enforcement Agencies (LEAs). Taklimat ini diakhiri dengan sesi soal jawab berkenaan isu dan peranan kedua-dua pihak dalam menjayakan aktiviti penguatkuasaan terhadap aktiviti penjualan dan iklan peranti perubatan haram dalam laman sesawang.

PIC_IK2

Sesi ini merupakan permulaan bagi usaha memperkukuh kerjasama penguatkuasaan antara MYNIC dan MDA bagi memastikan hanya peranti perubatan yang selamat dan berkesan sahaja dapat diakses melalui laman sesawang oleh orang awam di Malaysia.

 PIC_IK3

Disediakan oleh:

Cawangan Vigilan & Pemantauan

Bahagian Pascapasaran & Penguatkuasaan

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan

 

Dimuatnaik oleh:

Unit Komunikasi Korporat

Tarikh : 7 Mac 2025