fas fa-search
NASIHAT KEPADA ORANG RAMAI DALAM PEMBELIAN DAN PENGGUNAAN KIT UJIAN KENDIRI COVID-19
NASIHAT KEPADA ORANG RAMAI DALAM PEMBELIAN DAN PENGGUNAAN KIT UJIAN KENDIRI COVID-19
1) Lanjutan kenyataan media Ketua Eksekutif MDA bertarikh 13 Februari 2022 berkaitan keraguan orang ramai terhadap keputusan ujian menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 yang terdapat dalam pasaran, MDA ingin memaklumkan bahawa satu siasatan sedang dijalankan mengenai perkara ini.
2) Oleh kerana siasatan ini akan mengambil sedikit masa sebelum suatu kesimpulan dan tindakan lanjut berkaitan isu ini dapat diambil, MDA ingin menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah berjaga-jaga seperti berikut untuk mengurangkan risiko mendapat keputusan ujian yang meragukan dan dan membantu usaha mengurangkan jangkitan COVID-19;
a) Dapatkan hanya kit ujian kendiri COVID-19 yang diluluskan MDA dari farmasi komuniti, fasiliti kesihatan atau premis yang berdaftar dengan KPDNHEP untuk membuat ujian kendiri COVID-19.
Nota:
- Kit ujian yang telah mendapat kelulusan telah melalui proses penilaian yang ketat oleh MDA dan telah diuji prestasinya di makmal-makmal berakreditasi yang terpilih. Kit ujian yang tidak mendapat kelulusan MDA tidak melalui proses penilaian dan ujian prestasi yang dinyatakan dan prestasinya tidak dapat dipastikan
- Penjualan di farmasi komuniti, fasiliti kesihatan atau premis yang berdaftar dengan KPDNHEP membolehkan kit ujian dikesan dengan lebih mudah bagi mengambil tindakan pencegahan dan pembetulan yang sewajarnya sekiranya timbul sebarang masalah berkaitan prestasi dan keselamatan kit ujian tersebut
- Pembelian dari orang perseorangan atau dari premis selain daripada farmasi komuniti, fasiliti kesihatan atau premis yang berdaftar dengan KPDNHEP menyukarkan tindakan pencegahan dan pembetulan terhadap masalah yang timbul berkaitan kit ujian tersebut kerana penjualnya sukar/tidak dapat dikesan
- Jangan mudah terpedaya membeli kit ujian dengan harga yang terlalu murah kerana ia mungkin barangan tiruan/palsu, telah luput tarikh penggunaan, terdapat kerosakan atau diperolehi dari sumber-sumber yang tidak sah
b) Pastikan keadaan fizikal kotak pembungkusan kit ujian berada dalam keadaan yang baik dan tidak rosak, di simpan di tempat penyimpanan seperti yang disarankan pengilang dan mengandungi maklumat-maklumat nama dan alamat pengedar, tarikh luput yang masih sah dan belum tamat tempoh serta arahan penggunaan dan pelupusan.
Nota
- Kerosakan fizikal kotak pembungkusan boleh menyebabkan kerosakan kit ujian dan menyebabkan keputusan yang diperolehi adalah tidak tepat dan diragui
- Nama dan maklumat pengedar bagi membolehkan pengguna menghubungi pengedar jika terdapat apa-apa masalah atau ingin membuat aduan berkaitan kit ujian yang dibeli
- Tarikh luput yang masih sah dan belum tamat tempoh – kit ujian yang telah luput tarikhnya mungkin akan mempengaruhi prestasinya dan keputusan ujian yang diperolehi
- Tempat penyimpanan adalah penting kerana keadaan persekitaran, seperti suhu, boleh mempengaruhi kualiti kit ujian
- Arahan penggunaan dan pelupusan sebagai panduan kepada pengguna mengenai cara penggunaan dan pelupusan yang betul
c) Semasa membeli kit ujian kendiri COVID-19, imbas kod QR pada kotak kit ujian atau tulis butiran peribadi pada buku pembelian kit ujian bagi memudahkan pengesanan pengguna jika terdapat masalah berkaitan kit ujian.
d) Kit ujian kendiri COVID-19 hendaklah digunakan mengikut arahan penggunaan dan arahan pelupusan seperti yang dinyatakan pengilang sama ada secara bertulis atau melalui video yang boleh dimuat turun dengan mengimbas kod QR yang disertakan.
Nota
- Mengikuti semua langkah yang dinyatakan dalam arahan penggunaan dengan sepenuhnya adalah sangat penting untuk mendapatkan keputusan ujian yang tepat. Cara penggunaan yang tidak betul akan mengahasilkan keputusan yang tidak tepat dan diragui
- Pelupusan yang tidak betul boleh menyebabkan peningkatan dan penularan COVID-19 dan pencemaran persekitaran
e) Merekodkan keputusan ujian di dalam MySejahtera untuk membolehkan pihak-pihak yang berautoriti membuat tindakan lanjut dalam pengurusan COVID-19
f) Memaklumkan mana-mana keputusan ujian menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 yang meragukan dengan menyertai tinjauan (kaji selidik) mengenai prestasi berkaitan prestasi kit ujian kendiri COVID-19 https://forms.gle/zFyJMT8zzH2CAdjHA.
3) MDA berharap langkah berjaga-jaga seperti yang dinyatakan di atas dapat mengurangkan risiko mendapat keputusan ujian yang meragukan dan membantu usaha mengurangkan jangkitan COVID-19
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
15 Februari 2022