fas fa-search
KENYATAAN MEDIA : LARANGAN PENJUALAN ALAT OPTIK DAN KANTA LEKAP SECARA DALAM TALIAN
KENYATAAN MEDIA
PIHAK BERKUASA PERANTI PERUBATAN (MDA), KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
LARANGAN PENJUALAN ALAT OPTIK DAN KANTA LEKAP SECARA DALAM TALIAN
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa alat optik dan kanta lekap merupakan suatu peranti perubatan yang dikawal di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737). Oleh yang demikian, alat optik dan kanta lekap hendaklah memenuhi semua keperluan pendaftaran di bawah Akta yang sama sebelum ia diimport dan diletakkan dalam pasaran.
Alat optik dan kanta lekap juga dikategorikan sebagai prescribed medical device yang mana kedua-dua peranti ini perlu mendapat preskripsi dan disediakan serta diserahkan dari Juru Optik atau Optometris yang berdaftar sahaja sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta Optik 1991 (Akta 469) , Seksyen 30 yang dikuat kuasa oleh Majis Optik Malaysia (MOC). MOC juga telah mengeluarkan larangan penjualan kedua-dua alat tersebut secara dalam talian melalui garis panduan yang berikut:
https://hq.moh.gov.my/moc/wp-content/uploads/2021/08/GUIDELINES-FOR-ONLINE-SALE-OF-OPTICAL-APPLIANCES-AND-CONTACT-LENSES.pdf
Bagi menyokong pelaksanaan larangan ini, MDA tidak mengeluarkan apa-apa kelulusan berkaitan iklan serta penjualan alat optik dan kanta lekap secara dalam talian. Mana-mana orang yang didapati menjalankan aktiviti ini tanpa kelulusan MDA adalah melanggar Peraturan-Peraturan Peranti Perubatan (Pengiklanan) 2019, Peraturan 2(1) yang boleh menyebabkan seseorang itu didenda tidak melebihi RM200,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
MDA ingin menegaskan bahawa penjualan alat optik dan kanta lekap secara dalam talian di mana-mana platform e-dagang adalah dilarang sama sekali demi melindungi kesihatan dan keselamatan penglihatan pengguna. Justeru, pembelian alat optik dan kanta lekap secara dalam talian tanpa mendapat khidmat nasihat daripada juru optik atau optometris berdaftar tidak dapat menjamin keselamatan pengguna dan mendedahkan pengguna kepada risiko kesihatan mata serta penglihatan.
Sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam pengawalseliaan peranti perubatan di Malaysia, MDA akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini, termasuk tindakan undang-undang terhadap penyedia platform dalam talian yang masih menjual alat optik dan kanta lekap secara tidak sah. MDA juga menyeru kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti penjualan alat optik atau kanta lekap secara dalam talian kepada MDA melalui saluran Sistem Pengurusan Maklum Balas MDA (FEMES) di https://femes.mda.gov.my/ atau e-melkan ke mdb@mda.gov.my.
DR. MURALITHARAN PARAMASUA
Ketua Eksekutif
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan
Medical Device Authority Malaysia (MDA)
25 Mac 2025