Putrajaya, 3 Oktober 2024 - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengadakan program Hari Bertemu Pelanggan yang bertujuan untuk meningkatkan keterlibatan masyarakat dengan perkhidmatan kesihatan. Program ini memberi peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara langsung dengan pegawai KKM serta menyuarakan pendapat dan maklum balas mereka mengenai perkhidmatan yang disediakan.


Program ini turut dihadiri oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia, yang turut merasmikan acara dan memberikan sumbangan kepada kumpulan sasaran. Selain itu, beberapa jabatan KKM turut serta dalam program ini, termasuk Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), yang membuka reruai untuk memberi maklumat serta khidmat nasihat berkenaan peranti perubatan. MDA diwakili oleh tiga orang pegawai, yang membantu orang ramai memahami peraturan berkaitan pendaftaran, keselamatan, dan kelulusan peranti perubatan yang digunakan di hospital, klinik-klinik dan fasiliti kesihatan di seluruh negara.


Program ini menjadi platform bagi meningkatkan kesedaran pengguna terhadap hak mereka dalam sektor kesihatan dan menggalakkan interaksi yang lebih erat antara KKM dan masyarakat.