Kuala Lumpur, 30 September 2024 - Program Kesedaran Awam Peranti Perubatan telah berlangsung di Malaysia Tourism Centre (MATIC), Kuala Lumpur dan telah dirasmikan oleh Ketua Eksekutif MDA, Dr. Muralitharan Paramasua. Penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan kawalan dan penggunaan peranti perubatan yang berdaftar.

Program tersebut menekankan penguatkuasaan Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) yang mengawal selia peranti perubatan di Malaysia, termasuk pengurusan, penyelenggaraan, dan pelupusan peranti yang selamat di hospital-hospital dan fasiliti kesihatan yang tersedia. Selain daripada sesi ceramah dan pameran, terdapat sesi interaktif bersama pegawai-pegawai MDA yang menjelaskan langkah-langkah memastikan peranti yang digunakan oleh masyarakat mematuhi piawaian keselamatan.

Acara ini turut melibatkan penyertaan pelbagai pihak dari hospital, sektor perubatan swasta, serta masyarakat umum yang diberi peluang untuk memahami lebih mendalam mengenai kepentingan memilih dan menggunakan peranti perubatan yang sah dan berdaftar dengan MDA.