26 Februari 2024 – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA), Malaysia dan 'Ministry of Food and Drug Safety’ (MFDS), Korea Selatan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi kerjasama dalam bidang peranti perubatan di Seoul, Korea Selatan.

 

Majlis ini telah dihadiri oleh Dr. Muralitharan Paramasua (Ketua Eksekutif MDA), Lee Nam-Hee, Director General, Medical Device Safety Bureau, MFDS dan beberapa pegawai daripada MDA dan MFDS bagi tujuan menandatangani MOU ini.

Secara umumnya, MOU antara MDA, Malaysia dan MFDS, Korea Selatan dalam peranti perubatan ini menekankan kepada kerjasama yang komprehensif dalam bidang kawal selia peranti perubatan berpandukan kepada ‘Good Reliance Practice’ (GreIP) yang telah diperkenalkan oleh World Health Organization (WHO).

MOU yang telah ditandatangani ini turut menjadi simbol dalam meningkatkan kolaborasi secara terperinci dan mendalam berkaitan bidang kawal selia peranti perubatan secara dua hala. Melalui Perjanjian persefahaman ini, akses peranti perubatan yang selamat dan berkualiti serta penggunaan sumber dan kepakaran secara optimum dapat dipermudahkan dan dipercepatkan.

Komitmen yang tinggi dari kedua-dua pihak berkuasa peranti perubatan dalam memupuk penyelarasan kawal selia peranti perubatan yang selamat dan berkesan, dapat memberi impak positif dan menyumbang kepada kemajuan industri peranti perubatan di Malaysia dan Korea.