fas fa-search
PERLUASAN PENJUALAN KIT UJIAN KENDIRI COVID-19 DI PREMIS-PREMIS YANG MEMENUHI SYARAT-SYARAT DAN KEPERLUAN YANG DITETAPKAN
Bagi meningkatkan akses kit ujian kendiri ini kepada orang ramai, MDA dalam mesyuaratnya pada 13 Oktober 2021 bersetuju memperluaskan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 yang memperolehi Kelulusan Bersyarat dari MDA di premis-premis lain yang memenuhi syarat-syarat dan keperluan yang ditetapkan. Kawalan bagi perluasan penjualan kit ujian kendiri ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pelaksanaannya akan dijalankan setelah syarat-syarat dan keperluan serta mekanisma kawalan dimuktamadkan bersama KPDNHEP.
Melalui satu siri mesyuarat mengenai perluasan penjualan kit ujian kendiri COVID-19 yang telah diadakan, persetujuan telah dicapai bahawa penjualan kit ujian kendiri COVID-19 boleh diperluaskan kepada premis-premis yang mendapat kelulusan KPDNHEP. Mana-mana premis yang hendak menjual kit ujian ini hendaklah memohon kelulusan dari KPDNHEP dan memenuhi syarat-syarat dan keperluan berkaitan kesesuaian premis, rekod penjualan serta penyampaian maklumat penggunaan, pelupusan dan pelaporan yang ditetapkan. Premis-premis tersebut hanya dibenarkan menjual kit ujian kendiri COVID-19 yang telah mendapat kelulusan MDA.
Susulan itu, sehingga 28 Oktober 2021, KPDNHEP telah memberi kelulusan kepada 2,570 premis perniagaan yang telah memenuhi syarat-syarat dan keperluan yang ditetapkan untuk menjual kit ujian kendiri COVID-19 sebagai tambahan kepada penjualan di farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan yang telah dibenarkan untuk menjual kit ujian ini sejak 5 September 2021 yang lalu.